PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 31 Mei ini bagi keputusan permohonan bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke untuk membatalkan pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis empat tahun lalu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan ringkas daripada peguam Chong Kar Yan yang mewakili Yan Ke selaku pemohon.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri selaku responden tidak membuat sebarang hujahan lisan sebaliknya bergantung kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini.
Terdahulu, semasa prosiding peguam Kar Yan
ketika berhujah menyifatkan pertuduhan yang didakwa ke atas pemohon sebagai tiada asas.
Kar Yan berkata pertuduhan itu bukan kecacatan bersifat teknikal seperti masa, tempat kesalahan atau nama orang, sebaliknya ia adalah substantif.
“Pertuduhan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang dan tidak dapat dibaiki oleh Seksyen 156 serta 422 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.
Pada 13 November 2020, Yan Ke, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa mengingkari perintah Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di sini pada 7 November tahun sama.
Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan Yan Ke ditahan ketika polis menyerbu kediaman Presiden UMANY, Yap Wen Qing, untuk siasatan berhubung kes kenyataan kontroversi terhadap peranan Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE