BEBERAPA atlet kebangsaan dilihat tidak senang dengan kejadian yang menimpa penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim sekali gus berharap penjenayah itu dapat diheret ke muka pengadilan secepat yang mungkin.
Pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Syahir Rosdi mengakui dia dan rakan-rakan terkesan dengan insiden menimpa Faisal dan mengakui pelaku yang melakukan perkara terkutuk itu bertindak melampau dan harus ditangani dengan segera.
“Saya tidak sanggup berada dalam situasi Faisal kerana kami mencari makan melalui sukan, apabila terpaksa hadapi semua ini, saya tak boleh menerimanya.
“Kami menyara keluarga dalam sukan dan ini kerjaya kami, apa yang berlaku memberi kesan kepada semua atlet
“Tambahan pula, jika diperlaku seperti itu karier kita akan terjejas dan kemungkinan kerjaya kami sebagai atlet juga mungkin musnah. Saya harap peminat atau sesiapa sahaja bersikap lebih rasional,” kata Syahir ketika ditemui pada Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Sepang hari ini.
Syahir yang juga tekong utama negara turut berkongsi dia juga pernah melalui situasi kurang senang apabila menjadi bahan kecaman netizen di media sosial dan paling teruk dialaminya adalah gangguan sihir.
“Kecaman, maki hamun pernah saya rasa. Perkara paling teruk saya alami adalah gangguan sihir tetapi nasib baik saya kini sudah pulih selepas membuat rawatan kampung.
“Jadi, saya harap peminat yang tidak berpuas hati terutama soal prestasi kami tiada masalah dan mereka boleh mengkritik tetapi jangan melebih-lebih sehingga menyentuh hal peribadi, keluarga dan sebagainya. Kami semua cari makan dan adalah tidak baik jika mereka melampaui batas hingga tercetus unsur-unsur jenayah,” ujarnya.
Sementara itu, pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menegaskan sudah tiba masanya atlet mengutamakan keselamatan diri.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tetapi apa yang menimpa Faisal dan Akhyar Rashid menunjukkan atlet juga boleh berdepan ancaman yang tidak dijangka,” ujarnya.
Pada Ahad lalu, penyerang Selangor FC, Faisal disimbah cecair dipercayai asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Petaling Jaya dan kini dilaporkan kritikal selepas dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam.