DUA serangan terhadap pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim meletakkan industri bola sepak tanah air dalam fasa membimbangkan hingga boleh dilabel sebagai detik hitam dalam sejarah negara.
Selepas timbulnya surat layang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), negara digemparkan pula dengan insiden malang tersebut dan paling merisaukan serangan itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu.
Serangan fizikal terhadap dua pemain itu pastinya ‘menghantui’ komuniti bola sepak tempatan, malah berisiko memberi kesan kepada peminat hingga timbul rasa risau untuk turut serta ke stadium pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula Jumaat ini.
Pastinya ia menjadi minggu yang paling mendukacitakan buat arena bola sepak negara ketika Harimau Malaya masih lagi mempunyai tugas getir pada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, tanpa mengira kedudukan, semua orang pasti berdepan risiko seperti ini dan sekarang semua pihak harus mendoakan kesembuhan kedua-dua pemain itu.
“Sesiapa saja yang berada di posisi berprofil tinggi, memang ini sebahagian daripada risikonya. Ada suri rumah yang tidak aktif di media sosial pun kena simbah asid, tetapi dengan cara itu (kurangkan aktif di media sosial) mungkin boleh bantu kurangkan risiko.
“Gangguan psikologi dalam padang memang perkara biasa, tetapi ada juga kes ekstrem yang pernah berlaku. Contohnya di luar negara, Andres Escobar (bekas pertahanan Colombia) yang ditembak selepas menjaringkan gol sendiri hingga menyebabkan pasukannya kalah.
“Dalam kes ini, kalau betul suspek ada ucapkan ‘good luck’ bererti insiden ini sudah disasarkan. Buat masa ini sesiapa ada maklumat baik bercakap dengan polis daripada buat spekulasi, tetapi ia (bookie) tidak mustahil kerana sebelum ini hal kecil seperti berebut air pun boleh menyebabkan seseorang membunuh.
“Kita perlu ada mentaliti yang kita berpotensi jadi mangsa kerana daripada situ kita akan ambil sikap berhati-hati. Kalau ada pengawal peribadi pun, tetapi masih ikut kepala sendiri, payah juga dan mungkin timbulnya perselisihan. Jadi apa-apa pun bergantung kepada diri kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selepas insiden Akhyar disamun dan kepalanya dihentak dengan kuat menggunakan cota, kelmarin Faisal pula diserang apabila bintang Selangor FC itu menjadi mangsa simbah asid dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya.
Insiden berkenaan turut mendapat perhatian daripada ramai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Polis Selangor semalam sudah pun mengesahkan menahan seorang lelaki di Pandan Indah, Ampang bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid terhadap Faisal.