PETALING JAYA – Suspek pertama yang ditahan berikutan kes simbah asid terhadap pemain bola sepak negara, Faisal Halim, disahkan tidak terlibat dalam insiden itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 20-an yang ditahan di Pandan Indah, Ampang, kelmarin itu dibebaskan dengan jaminan selepas didapati bukan pelaku kes yang sedang siasat.
“Suspek sebenar yang menaiki motosikal semasa kejadian, didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Nombor pendaftaran motosikal digunakan pelaku, sama dengan nombor pendaftaran nombor pendaftaran motosikal milik suspek yang ditahan.
“Siasatan mendapati suspek pertama tiada kaitan dengan kes ini dan akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, suspek akan ditahan semula kerana positif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar memaklumkan kes terbabit diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kita telah tahan seorang lagi suspek dan direman hari ini. Mulai hari ini, siasatan lanjut diambil alih oleh USJT Bukit Aman,” ujarnya ringkas.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis menahan suspek kedua, di Bandar Baru Bangi, semalam bagi membantu siasatan polis berhubung insiden berkenaan.
Permohonan reman suspek kedua berusia 30-an itu dibuat di Mahkamah Petaling Jaya, di sini hari ini.
Difahamkan, suspek akan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.