fbpx

‘Bagilah gambar bagus sikit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran Abdul Rahman di laman Facebooknya, semalam.

PETALING JAYA – “Kenapa bagi gambar ini, carilah gambar yang bagus sikit,” kata warga emas, Bahasa Othman, 73, yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Semenyih, Ahad lalu.

Menurut hantaran anaknya Abdul Rahman Bahasa di laman Facebook, bapanya berkata demikian setelah melihat gambarnya yang tersiar dalam akhbar Kosmo!, semalam.

Difahamkan, Bahasa telah ditemui dan kini sedang berehat di kediaman milik keluarganya.

Abdul Rahman menjelaskan, bapanya menghidap penyakit demensia atau nyanyuk yang menyebabkannya mudah lupa.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, bapanya kini sedang dalam rawatan untuk penyakit demensia yang dialaminya.

“Ayah tahu tak? Satu Malaysia cari ayah semalam tau. Sampai keluar cerita ayah dalam surat khabar Kosmo!.

“Jujur, saya hampir tergelak setelah ayah mempersoal mengapa gambar tersebut yang dipilih,” katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu bapanya pada hari kejadian.

Menurut beliau, bapanya ditemui dalam keadaan letih dan kelaparan, mungkin kerana tidak menjamah sebarang makanan sewaktu kehilangannya.

“Sebelum ini, ayah tak bawa kereta jauh-jauh. Cuma kali ini saya tidak pasti kenapa ayah bawa jauh, sangat jauh sehingga ke Johor Bahru.

“Mujur tak ada apa-apa. Allah lindungi ayah daripada perkara yang tidak diingini,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, keluarganya juga mungkin akan memasang alat penjejak di pada kenderaan mereka untuk mengelakkan perkara sama daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

“Terima kasih semuanya. Tanpa anda semua. Mungkin kami masih mencari ayah sampai ke saat ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Bahasa Othman, 73, dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah di Taman Gembira, Semenyih, Selangor sejak pagi Ahad lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya Yusri Amir, 41, kira-kira pukul 8.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI