KUALA LUMPUR – AstraZeneca bersama beberapa pemimpin industri kesihatan hari ini melancarkan aplikasi kesihatan, MyCKD CPG dan Persamaan Risiko Kegagalan Buah Pinggang Boleh Ubah (KFRE) untuk menguruskan penyakit buah pinggang kronik.
Menerusi aplikasi tersebut, doktor penjagaan primer dapat mengenal pasti tanda-tanda penyakit buah pinggang kronik dengan lebih awal dan melakukan intervensi sewajarnya bagi memanjangkan jangka hayat pesakit.
Pengarah Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah berkata, aplikasi MyCKD CPG adalah satu platform digital komprehensif yang memudahkan diagnosis serta intervensi awal dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik.
“Pengesanan awal adalah penting untuk melambatkan perkembangan komplikasi berkaitan penyakit buah pinggang kronik.
“Perkara tersebut boleh dilakukan melalui penggunaan penyelesaian digital seperti aplikasi MyCKD CPG dan KFRE sebagai langkah intervensi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran MyCKD CPG di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.
Dalam pada itu, Presiden AstraZeneca Malaysia berkata, lebih lima juta rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik, namun hanya lima peratus yang menyedarinya.
Tambah beliau, kini lebih 51,000 rakyat Malaysia menghidap kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis untuk mengelakkan penyakit tersebut daripada menjadi lebih parah.
Menurut beliau, perbelanjaan sektor awam untuk merawat kegagalan buah pinggang mencecah RM1.2 bilion pada 2016, menandakan peningkatan sebanyak 94 peratus dalam masa tujuh tahun.
“Sebagai salah satu syarikat farmaseutikal global, kami menekankan betapa pentingnya pencegahan awal untuk rawatan penyakit buah pinggang kronik.
“Oleh itu, kami meletakkan sasaran untuk menyaring sebanyak 140 juta individu yang mempunyai risiko penyakit buah pinggang kronik di seluruh negara menjelang 2025.
“Saringan tersebut juga mungkin dapat mengurangkan kadar pesakit yang menghidap penyakit ini sebanyak 20 peratus,” ujarnya.
Difahamkan, kerjasama tersebut turut melibatkan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Persatuan Ahli Biokimia Klinikal Malaysia (MACB) dan Bab Patologi Kimia & Perubatan Metabolik, Kolej Patologi, Akademi Perubatan Malaysia (CPMM Path AMM).
Selain itu, turut terlibat ialah Premier Intergrated Labs, Innoquest Pathology, Lablink Medical Laboratory dan Sunway Medical Centre Laboratory. – KOSMO! ONLINE