PETALING JAYA – “Ada yang koyak, tapi bukan kertas.”
Demikian usikan nakal netizen merujuk momen manis dirakamkan pempengaruh media sosial, Abang Tesla membabitkan menantu Abby Abadi, Ahmad Aslam dengan isteri pertamanya, Umisya Mazlan.
Menerusi video dalam TikTok dikongsikan Abang Tesla atau nama sebenarnya Mohammad Khaliltizam Yusri, 29, Aslam membuat kejutan memberikan bunga ros kepada insan kesayangannya.
Detik spontan yang dirakamkan ketika mereka terbabit dengan sesi fotografi promosi produk di hadapan pusat beli belah popular itu membuatkan Umisya atau mesra disapa Misya tersipu-sipu.
Begitupun, ibu kepada dua anak itu bijak mewarnakan situasi dengan lawak bersahaja apabila menunjukkan wajah terkejut sebaik suaminya menghulurkan sekuntum ros merah.
Selain pasangan terbabit dan Abang Tesla, turut menyertai sesi bergambar itu ialah isteri media sosial itu, Nurmajdina serta seorang lagi pensohor popular, Farah Fakhira yang juga usahawan tudung.
Menerusi semakan dalam ruangan komen, ramai menyenangi cara Aslam menggembirakan isteri, namun tidak kurang yang secara terang-terangan tertanya-tanya reaksi Marissa Dania selaku isteri kedua.
Bahkan masing-masing yang seakan-akan terbahagi kepada dua kem berdebat mengenai tindakan Aslam menunjukkan aksi romantisnya.
“Mereka ini pun, patutnya jagalah hati Marissa, dia pun ada perasaan, jagalah perasaan isteri kedua,” kata netizen.
“Aku nampak mereka nak rapatkan hubungan Misya dengan Aslam supaya berlaku adil,” tulis pemilik akaun lain.
Isu poligami membabitkan pemandu e-hailing itu dengan Marissa yang bernikah di Thailand ketika Misya mengerjakan umrah pada 27 Disember tahun lalu mencetuskan kontroversi.
Begitupun, selepas beberapa bulan berdepan konflik, hubungan ketiga-tiga mereka kini tampak semakin positif. – KOSMO! ONLINE