fbpx

Anak asuhan mati, suami isteri mohon dibicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZHEN JIE (kiri) dan isterinya, Vivian Lau tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan warga asing berusia 9 bulan sehingga meninggal dunia di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri yang juga pengasuh kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu hingga menyebabkan kecederaan, bulan lalu.

Lim Zhen Jie, 31, dan isterinya, Vivian Lau, 29, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan iaitu anak kepada seorang wanita Vietnam telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh pasangan suami isteri tersebut di sebuah rumah di Jalan Kejayaan 25, Taman Universiti, Skudai antara 19 Mac hingga 25 April lalu.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala pasangan suami isteri berkenaan diwakili peguam, Muhammad Mohd. Nasir.

Pihak Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah supaya kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 setiap seorang, menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sementara itu, peguam bela tertuduh memohon jaminan yang minimum setelah tertuduh lelaki warga tempatan itu hanya bekerja sebagai juruwang dengan pendapatan RM2,600 dan mempunyai tanggungan dua orang anak berusia lima dan sembilan tahun yang masih bersekolah.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan, perlu lapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran, serahan pasport dan larangan menganggu saksi mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 6 Jun sebagai sebutan semula bagi serahan dokumen perubatan dan laporan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI