GEORGE TOWN – Hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan berlakunya kejadian pokok tumbang dan ranting patah di beberapa jalan utama di kawasan pusat bandar ini, malam tadi.
Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, sejak pukul 11 malam semalam hingga 1 pagi tadi, sebanyak 10 lokasi pokok tumbang dan dahan patah telah dilaporkan kepada petugas aduan hotline MBPP.
“Kesemua aduan-aduan tersebut telah disalurkan serta-merta kepada Pasukan Pengurusan Bencana MBPP untuk tindakan segera.
“Antara kawasan yang terlibat adalah Pintasan Cecil, Taman Bukit Gelugor, Jalan Bell, Jalan Burma, Park Road, Jalan Biggs, Jalan Cantonment, Berhadapan Menara KWSP, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Macalister dan Flat Hamna, Jalan Sungai Dua,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, Skuad Pantas MBPP telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja pemulihan di kesemua lokasi-lokasi tersebut.
“Bagaimanapun, kerja-kerja di Flat Hamna, Jalan Sungai Dua terpaksa ditangguhkan sementara waktu kerana memerlukan jentera besar serta faktor keselamatan petugas,” katanya.
Tambahnya, Pasukan Skuad Pantas MBPP sentiasa bersedia memikul amanah melaksanakan tugas-tugas mereka tanpa mengira waktu dan cuaca demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk. – KOSMO! ONLINE