fbpx

UKM tawar program pintar buat murid antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PPPN UKM menawarkan program khas bagi melahirkan para pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang sains.

SEJAK ditubuhkan pada 2009, Pusat Permata@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (PPPN UKM) telah menjadi pusat kecemerlangan yang bertanggungjawab mengenal pasti murid pintar dan berbakat dari seluruh tanah air.

Pusat itu memberikan peluang kepada murid untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.

Malah, institusi itu telah menempa pelbagai kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa.

Kejayaan utama bagi program itu adalah membangunkan program Pendidikan Pintar dan Berbakat yang terancang serta berstruktur.

Ia merangkumi aspek pencarian pelajar pintar di Malaysia, pembinaan kurikulum, pengurusan pentaksiran, latihan guru, program pengayaan dan penghasilan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Hasilnya, PPPN UKM pada hari ini boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian para pelajarnya yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti berprestij di dunia.

Sebagai contoh, Vivien Ho adalah pelajar ijazah kedoktoran (PhD) termuda di Oxford University, United Kingdom.

Sebenarnya, ada ramai lagi pelajar PPPN UKM yang telah diterima masuk ke Ivy League Universities di Amerika Syarikat dan universiti terkemuka lain di dunia seperti Oxbridge, Imperial College London, MIT dan University of Sydney.

Di atas pencapaian membanggakan itu, UKM telah mengambil inisiatif untuk melancarkan program Permata@Pintar Antarabangsa (PPA) dalam usaha mengembangkan penawaran program pendidikan pintar dan berbakat kepada pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, PPA akan melibatkan tiga program pengambilan pelajar antarabangsa iaitu Program Asasi Pintar, Program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar.

TENGKU AMIR SHAH (depan, tengah) bergambar bersama warga PPPN UKM di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, PPPN UKM juga telah merangka gerak kerja dan akan menawarkan Program Asasi Pintar Antarabangsa di luar negara.

“Inisiatif ini adalah satu usaha untuk mengembangkan pendidikan pintar dan berbakat yang komprehensif.

“Anggaran ambilan pelajar bagi program ini adalah seramai 300 orang. Pelajar dijangka memulakan pengajian pada hujung tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir untuk melancarkan program PPA.

Sementara itu, program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar melibatkan kerjasama antara UKM dengan Mutiara International Grammar School, Kuala Lumpur (MIGS).

Kedua-dua program itu akan mula ditawarkan kepada pelajar antarabangsa pada Jun 2024 dan Februari 2025.

Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, sejak penubuhan PPPN UKM pada 2009, pusat itu telah menghasilkan pelajar pintar dan berbakat yang diterima masuk ke universiti terbaik dunia dan mereka dapat bekerja di dalam dan luar negara.

“Anak Selangor adalah antara yang paling ramai berada di sini. Ini kerana, pusat ini menerima jumlah permohonan paling tinggi dalam kalangan anak-anak Selangor pada setiap tahun,” jelasnya.

Tambahnya, saringan UKM 1 bagi anak-anak Selangor pada tahun ini meliputi kira-kira 267,000 orang pelajar.

Katanya, jumlah itu sememangnya agak tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Mengikut rekod, antara negeri yang mempunyai pelajar paling ramai di situ termasuk Johor, Terengganu dan Perak.

Sementara itu, Mohd. Ekhwan berkata, kejayaan utama program itu adalah membangunkan Pendidikan Pintar dan Berbakat yang terancang serta berstruktur.

“Saya berharap dengan pelancaran PPA, UKM mampu menyediakan pendidikan pintar kepada pelajar-pelajar yang unik dari aspek kepintaran serta memperkasakan pendidikan pintar dan berbakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI