fbpx

Tiga maut, 12 terselamat dalam tragedi kepala air Lembah Maksina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga maut manakala 12 lagi terselamat dalam tragedi kepala air di Lembah Mak Sina, Tungku, Lahad Datu malam tadi. -Foto JBPM

LAHAD DATU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiga mangsa maut manakala 12 lagi terselamat dalam tragedi kepala air di Lembah Mak Sina, Tungku malam tadi.

Semua mangsa berusia antara 25 hingga 58 tahun berkenaan dikatakan masuk ke kawasan terbabit untuk melakukan aktiviti ‘River Hiking’ dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu.

Bagaimanapun, semua 13 mangsa dipercayai dihanyutkan kepala air hingga mengakibatkan tiga daripada mereka dilaporkan hilang.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 8.28 malam tadi.

“Panggilan kecemasan dibuat oleh dua lagi individu yang keluar dari kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Pasukan operasi berjaya tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.36 malam sebelum operasi mengeluarkan sembilan mangsa terperangkap terus dijalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan terdapat dua mangsa yang cedera dan mereka diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Riki Mohan memaklumkan tiga individu yang hilang ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada pukul 1.37 pagi tadi.

“Mangsa yang maut membabitkan seorang wanita dan dua lelaki yang dikenali sebagai Rosnaneh Mutahir, 58, Saharuddin Baharuddin , 44, dan Saleh Latani yang bertugas sebagai ketua ekspedisi berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI