PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport) telah menganjurkan majlis Rumah Terbuka Hari Raya dengan menghimpunkan komuniti besar para pelanggan, rakan kongsi perniagaan, agensi Kerajaan, ketua komuniti dan pihak berkepentingan lain.
Melalui tema ‘Raya Anugerah’ itu, majlis tersebut melambangkan nilai kesyukuran dan mencerminkan usaha perjalanan menuju kecemerlangan yang dilakukan oleh Northport sebagai sebahagian daripada inisiatif Reinventing Northport sejak tahun 2016.
Majlis itu juga menghargai dedikasi dan usaha setiap warga kerja Northport dengan mengiktiraf pencapaian individu mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Azman Shah Mohd. Yusof berkata, syarikat sengaja memilih tema ‘Raya Anugerah’ untuk diselarikan dengan semangat Aidilfitri yang menekankan rasa kesyukuran di atas nikmat yang diperoleh setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
“Saya sering mengingatkan kakitangan agar sentiasa bersyukur dengan ‘Anugerah’ yang dikurniakan, sama ada dalam bentuk prestasi perniagaan, kesihatan, kerja berpasukan atau pengalaman pembinaan karakter yang membolehkan kami mencapai kecemerlangan dan meletakkan Northport sehingga ke tahap ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Azman Shah menerangkan, tema “Raya Anugerah” itu juga membawa mesej prestasi cemerlang Northport dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan memperoleh beberapa anugerah dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sejak tahun 2016, Northport telah memenangi sejumlah 23 anugerah dan pengiktirafan, mencerminkan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pelbagai aspek operasi perniagaannya.
“Saya sering mengingatkan kakitangan supaya tidak leka dan terus proaktif dalam mengekalkan dan memperbaiki pencapaian syarikat.
“Setiap kejayaan dan rezeki yang kita terima selama ini hadir bersama kewajipan atau tanggungjawab untuk kita berkongsi dengan mereka yang memerlukan, memberi impak yang bermakna kepada kehidupan orang lain dan menyumbang secara positif kepada komuniti,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE