KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi berharap kerajaan dapat meneliti hasil pelaksanaan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) dalam persediaan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan IRC adalah usaha pihak kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengumpulkan pakar dan juga rakan-rakan dalam bidang kawal selia dari dalam ASEAN dan seluruh dunia.
Katanya, hasil pertemuan dan perkongsian dalam sesi-sesi yang diadakan sepanjang dua hari ini boleh diteliti sekiranya bersesuaian dan boleh dilaksanakan di Malaysia.
“Tujuan penganjuran IRC hari ini bagi membolehkan kita belajar daripada apa yang diusahakan negara-negara lain. Harapan saya kita dapat laksanakan secara berkala pada tahun-tahun akan datang.
“Persidangan ini juga dilaksanakan bersempena pengerusian ASEAN kerana Malaysia berada dalam kedudukan unik dan baik untuk membincangkan realiti keadaan situasi semasa.
“Jadi saya berharap agar program-program atau forum-forum diadakan semasa IRC 2024 ini dapat dilihat kesesuaiannya untuk dimasukkan dalam senarai acara sepanjang tempoh pengerusian ASEAN 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024), di sini, hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan ini disertai kira-kira 800 peserta yang terdiri daripada wakil dalam dan luar ASEAN.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tahap kesiapsiagaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah ASEAN berada dalam tahap baik setelah beberapa mesyuarat diadakan.
Ujarnya, setakat ini kementeriannya telah mencadangkan sejumlah acara melibatkan beberapa agensi termasuk Bernama, MCMC, dan Finas sepanjang tempoh pengerusian tersebut.
“Sekiranya kita lihat ada kewajaran untuk cadangkan acara seperti IRC dalam sebahagian daripada kalendar, maka kita akan usahakan. Kita akan tambah baik lagi cadangan dari semasa ke semasa.
“Kita jangka menjelang bulan 10 sidang kemuncak ASEAN akan menyaksikan peralihan kepengerusian ASEAN kepada Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan setiap mesyuarat berkala berkaitan persediaan rapi Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025 dalam mengangkat imej negara di persada dunia.
Laos akan menyerahkan baton kepengerusian ASEAN 2025 pada Sidang Kemuncak blok itu yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN kira-kira 10 tahun lalu iaitu pada tahun 2015. – KOSMO! ONLINE