HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifestonya hari ini dengan menawarkan lima teras utama sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Lima teras dengan tema ‘Khairul Komited Berkhidmat’ itu merangkumi pembangunan berkualiti, menjamin kelestarian alam, memperkasa ekonomi setempat, mengembleng potensi generasi muda dan wanita serta membela masyarakat minoriti.
Calon PN, Khairul Azhari Saut berkata, beliau akan memastikan perkampungan Orang Asli diiktiraf serta menyediakan prasarana yang mesra bagi orang kelainan upaya (OKU).
Menurutnya, perkampungan Orang Asli yang dikatakan sudah wujud sejak ratusan tahun di Malaysia wajar diangkat sebagai tapak warisan UNESCO khususnya di Kuala Kubu Baharu.
“Dengan pengitirafan tersebut, secara tak langsung kemudahan di kampung Orang Asli akan ditambah baik,” katanya ketika membentangkan manifesto di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Kata anak tempatan Kuala Kubu Baharu itu, beliau juga akan menyediakan ‘blueprint’ pembangunan bagi menjamin kelestarian Alam dan persekitaran hijau.
Dalam pada itu, jelasnya, promosi Kuala Kubu baharu sebagai kawasan eko pelancongan akan dipertingkatkan termasuk menubuhkan Pusat Khidmat yang berfungsi sebagai pemudahcara antara rakyat dengan pemain industri tempatan.
“Selain itu, menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi serta fasiliti awam selain memperbanyakkan program pemerkasaan anak muda dan wanita,” tambahnya.
Dalam PRK Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari yang bertanding dalam pertembungan empat penjuru ditentang calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin. – KOSMO! ONLINE