“DENGAN menjadi seorang sukarelawan, saya dapat menjadi seorang manusia sebenar”.
Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Nur Adibah Ab. Malik Marwan, mahasiswi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Gadis berusia 24 tahun itu menyifatkan aktiviti kesukarelawan banyak mengajar dan mendewasakan dirinya.
Menurutnya, kesukarelawanan juga berjaya membuka matanya untuk lebih bersyukur dan menghargai setiap nikmat yang ada di dunia.
“Apabila menjadi sukarelawan, saya dapat menghilangkan rasa letih, tekanan dan mengisi masa saya dengan perkara berfaedah.
“Bagi saya, aktiviti kesukarelawanan adalah jalan terbaik untuk saya menghilangkan tekanan sepanjang bergelar pelajar,” katanya kepada iGen.
Berkongsi lanjut, dia yang merupakan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu mula aktif dalam bidang kesukarelawanan sejak berada di sekolah menengah.
“Saya suka sertai segala bentuk program yang melibatkan aktiviti membantu orang.
“Ini kerana, bagi saya ia dapat memberi kepuasan pada diri dan orang di sekeliling.
“Di sekolah menengah, saya merupakan pelajar asrama.
“Apabila di asrama, saya tahu setiap daripada mereka hanya mengharapkan bantuan kawan di sekeliling kerana berada jauh dengan ibu bapa.
“Jadi, kami pelajar-pelajar asrama, saling bergantung antara satu sama lain dan banyak menjalankan aktiviti secara bersama,” katanya lagi.
Ujarnya, jika di peringkat universiti, dia banyak menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan dan kelab.
Akui anak ketiga daripada enam beradik itu, pada awalnya, dia begitu malu dan takut.
Hal ini kerana Nur Adibah merupakan seorang pelajar yang sukar bergaul dengan orang ramai.
Pun begitu katanya, dia meletakkan jauh-jauh perasaan tersebut dan cuba mendaftar diri dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Di UniSZA, saya mengenal pasti sebuah persatuan yang sangat aktif dalam bidang sukarelawan iaitu Pertubuhan Sukarelawan Siswa UniSZA.
“Saya bermula dengan menjadi fasilitator bagi sebuah program jemputan sekolah.
“Menerusi program itu, saya banyak belajar perkara baharu dan mengubah diri menjadi lebih positif.
“Saya juga mula menanam minat untuk terus aktif dalam sukarelawan dan akan memanfaatkan peluang yang ada,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial.
Berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi sukarelawan, Nur Adibah berkata, misi ke Vietnam antara yang paling paling diingati dan ‘berbekas’ dalam hatinya.
“Melalui misi ini, saya dapat mencabar diri dengan pelbagai aktiviti yang mungkin tidak sesuai bagi seorang wanita.
“Di negara kita, mana ada perempuan buat kerja-kerja kontraktor seperti buat jalan, tanam pokok di sepanjang jalan dan angkat benda-benda berat.
“Namun tidak di sana (Vietnam), saya dan kawan-kawan melakukan setiap kerja dan aktiviti tersebut.
“Dari situ, ia mengajar saya bahawa jantina bukan penghalang untuk kita berbakti dan memberi kepada komuniti,” katanya.
Selain itu, Nur Adibah turut aktif dalam bidang kepimpinan.
Buktinya, dia telah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Sukarelawan Siswa UniSZA sesi 22/23, Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA sesi 23/24 dan bekas Ketua Exco Sukan & Rekreasi sesi 21/22 dan banyak lagi.
Dari segi akademik pula, Nur Adibah merupakan penerima Anugerah Hero Komuniti peringkat fakulti, penerima Anugerah Kepimpinan Persatuan di Anugerah Tokoh Siswa UniSZA 2023.
Janji Nur Adibah, sememangnya dia akan cuba mencari kerja yang melibatkan komuniti selepas tamat belajar nanti.
Ini kerana, dia ingin mengenali pelbagai jenis ragam manusia.
“Sekiranya sudah bekerja kelak, tidak bermaksud saya tidak boleh buat kerja sukarelawan lagi.
“Banyak cara yang boleh saya usaha untuk dekatkan diri dengan masyarakat dan memberikan sesuatu kepada mereka,” ujarnya mengakhiri kata.