fbpx

Manfaat teknologi baharu hadapi ancaman keselamatan – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khaled ketika berucap pada Forum Putrajaya 2024 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2024 di MITEC di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Semua pihak disaran untuk meningkatkan diplomasi pertahanan dengan memanfaatkan teknologi baharu yang disediakan dalam industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha dan sumber baharu adalah sangat diperlukan ketika ini bagi memastikan risiko keselamatan dapat ditangani.

Namun katanya, usaha tersebut memerlukan kerjasama antara agensi dan rangkaian transnasional bagi mempelajari semula dan memahami peperangan serta ancaman keselamatan.

“Hala tuju ketika ini adalah mempercepatkan penyelesaian pertahanan yang berkesan seiring penerimaan teknologi. Ia akhirnya dapat memajukan kepentingan keselamatan bersama dan mengukuhkan keupayaan pertahanan.

“Teknologi baharu yang menawarkan penyelesaian praktikal harus menjadi pusat kepada hubungan diplomatik dan rundingan perkongsian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Putrajaya 2024 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2024 di MITEC di sini hari ini.

Forum Putrajaya 2024 dengan tema ‘Non-Traditional Threat and Emerging Technologies’ adalah platform persidangan berskala antarabangsa dilaksanakan bagi menghimpunkan komuniti penggubal dasar, badan pemikir dan agensi pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.

Persidangan itu menterjemahkan fokus menerusi pendekatan secara sesi dialog dan perbincangan terbuka yang membina antara peserta membabitkan idealogi perkongsian pengetahuan, mengenal pasti keutamaan bersama, meneroka penyelesaian inovatif dan mengukuhkan perkongsian untuk keamanan serta kemakmuran serantau dan antarabangsa yang mampan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI