SUSULAN kekecohan tentang berita pernikahan anaknya, penyanyi Rizky Febian dengan Mahalini juga seorang penyanyi terkenal, pelawak Indonesia, Sule tampil memaklumkan bakal menantunya itu akan memeluk Islam sebelum melangsungkan perkahwinan pada 8 Mei ini.
Dalam masa sama, Sule, 48, turut menegaskan khabar pernikahan pasangan popular itu di Bali, Indonesia semalam adalah tidak benar.
“Berita yang tersebar tentang majlis resepsi adalah tidak benar sama sekali. Selepas ini (8 Mei) baru akan ada acara pernikahan.
“Acara mepamit pamitan dari keluarga dan juga leluhurnya (nenek moyang) Lini (Mahalini) meminta izin dia akan berpindah agama dan sudah diizinkan serta diperbolehkan untuk menikah secara agama kami (Islam) nanti di Jakarta,” katanya menerusi video YouTube.
Malah, Sule turut menjelaskan upacara mepamit yang berlangsung semalam adalah adat meminang atau meminta izin keluarga untuk menikahi Mahalini.
“Ini adalah acara mepamit. Kami keluarga lelaki meminta izin untuk meminang. Jika mahu lebih jelas, sila baca di Google supaya tiada salah faham,” ujarnya lagi.
Sebelum ini isu perbezaan agama menjadi polemik selepas tiada pengesahan mengenai pernikahan antara Mahalini dan Rizky yang dikatakan tidak sah kerana kedua-duanya berbeza agama.
Pasangan yang sudah lebih setahun menjalin percintaan juga sudah melangsungkan pertunangan pada 7 Mei tahun lalu. – KOSMO! ONLINE