PETALING JAYA – Seorang lelaki yang diberkas semalam untuk siasatan kes simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim direman selama dua hari.
Kejadian tersebut berlaku ketika pemain bola sepak tersebut berada di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara, di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek diberkas di Pandan Indah, Ampang.
Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah direman dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan untuk ketahui motif kejadian.
“Setakat ini pihak polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, polis juga akan memanggil beberapa saksi bebas untuk membantu siasatan.
Semalam, media melaporkan pemain Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.
Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Berikutan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE