SERDANG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut selepas motosikal jenis Y15 ditungganginya merempuh belakang Toyota Vellfire di lampu isyarat Jalan Puchong Taman Tenaga, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, insiden itu berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi.
Katanya, mangsa difahamkan dalam perjalanan dari rumah saudaranya dari arah Puchong menuju ke Jalan Klang Lama.
“Setibanya di lokasi kejadian, Toyota Vellfire secara tiba-tiba memasuki simpang sehingga menyebabkan mangsa terlanggar di bahagian sisi kiri belakang kenderaan terbabit.
“Mangsa terjatuh dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anbalagan berkata, mayat lelaki berusia 29 tahun itu telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, Anbalagan memberitahu, pemandu Toyota Vellfire hadir ke balai untuk membuat laporan sebelum ditangkap pada pukul 7.30 malam tadi.
“Pemandu, 36, didapati negatif dadah dan sampel darah telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
“Lelaki itu direman sehari pada hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE