PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mendedahkan data kes yang mempunyai kaitan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana, pihaknya tidak mempunyai hasrat menyorok apa sahaja angka mengenai isu Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI).
“Saya sendiri pernah sebut perkara ini dalam mesyuarat pasca-Kabinet dan mahu daftar berhubung isu vaksinasi itu didedahkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman acara Malaysia International Healthcare Megatrends 2024 antara pihak KKM dan KPJ Healthcare Berhad di sini petang tadi.
Isu AEFI kembali panas di seluruh dunia selepas tular dokumen mahkamah di Britain yang mendedahkan ada pampasan setengah bilion ringgit melibatkan firma AstraZeneca (AZ).
Ia disebabkan sejumlah 51 tuntutan ganti rugi individu yang disuntik vaksin tersebut dan menyebabkan berlaku sindrom Thrombosis Thrombocytopenia atau pembekuan darah.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, KKM ada menyimpan rekod daftar kesan sampingan imunisasi sebagai garis panduan klinikal dan rujukan pada masa depan.
“Insya-Allah, saya memberikan jaminan tiada apa yang akan disembunyi, malah kita telus dan bertanggungjawab namun beri KKM masa sebelum dapat dikongsikan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE