PYONGYANG – Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un menjadi sensasi internet apabila lagu yang diperkenalkan oleh beliau tular di platform TikTok, lapor akhbar Daily Star semalam.
Lagu berjudul Friendly Father itu kemudian menjadi kegemaran ramai.
Muzik irama elektropop itu adalah yang terbaharu dalam rentetan lagu pop propaganda yang dikeluarkan oleh pemimpin negara Korea Utara sejak 50 tahun lalu.
Liriknya memuji Jong-un dengan menggambarkan diktator itu sebagai memberikan rakyatnya masa depan lebih cerah.
Klip video lagu juga menunjukkan montaj pasukan yang memenangi kejohanan bola sepak dan apa yang kelihatan seperti kumpulan saintis Covid bersorak kepada Jong-un.
“Ia sangat distopian dengan cara yang paling menarik,” kata seorang netizen.
“Lagu ini seperti penghujung filem di mana seluruh bandar berkumpul bersama dan menyanyi dengan penuh perpaduan,” kata pengguna media sosial lain.
Sementara itu, penganalisis Universiti Sungkyunkwan, Peter Moody berkata, lagu-lagu Korea Utara pernah tular sebelum ini tetapi kebiasaannya untuk mengejek mereka.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar lagu Korea Utara menjadi tular dengan ramai orang di seluruh dunia meluahkan penghargaan kepada muzik tersebut,” katanya. – AGENSI