PETALING JAYA – Kerjasama pelaburan syarikat gergasi teknologi, Alphabet Inc (Alphabet) dan Google ke Malaysia akan membuahkan hasil terutamanya bagi melancarkan perancangan transisi teknologi negara serta pewujudan peluang pekerjaan yang lebih luas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu diharap dapat dijayakan hasil persidangan secara maya beliau bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat pagi tadi.
Katanya, sesi persidangan secara maya itu diadakan susulan daripada pertemuan mereka di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.
“Perbincangan kami turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) terkait sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.
“Saya tegaskan bahawa ikhtiar-ikhtiar ini akhirnya perlu membawa manfaat ekonomi dan sosial yang menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana kelompok masyarakat terutamanya dari segi literasi teknologi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, dalam persidangan maya itu, Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang-bidang yang boleh diperluas syarikatnya di Malaysia, berdasarkan penerangan terdahulu oleh beliau terkait misi dan tumpuan kerajaan Malaysia.
“Alphabet dan Google amat mengalu-alukan kepimpinan, komitmen dan kepantasan pemudah cara yang telah diberikan Kerajaan Malaysia sejak pertemuan lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE