KUANTAN – Seorang kerani sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM109,540 selepas terperdaya dengan skim pelaburan Bitcoin yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada Mac lalu apabila mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 37 tahun menyertai satu skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan melalui laman sosial Instagram.
“Mangsa telah membuat pelaburan RM109,540 dengan membuat transaksi sebanyak 26 kali ke 15 akaun bank berlainan.
“Mangsa mula sedar telah ditipu setelah suspek meminta pelbagai bayaran tambahan untuk pelaburan tersebut sebelum mangsa dapat mengeluarkan keuntungan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan pinjaman daripada keluarga dan rakan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dalam talian.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya.