PETALING JAYA – Sebanyak 86 peratus pekerja Malaysia memilih untuk masuk ke pejabat hanya tiga hari seminggu dan selebihnya melakukan tugasan dari rumah.
Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, peratusan tersebut diperoleh menerusi tinjauan Workmonitor 2024 yang dilakukan pihaknya membabitkan 517 pekerja negara ini bagi tempoh 23 Oktober hingga 11 November tahun lalu.
Katanya, 39 peratus daripada responden memilih berhenti kerja sekiranya majikan meminta untuk menghabiskan lebih banyak masa di pejabat.
Fahad turut memaklumkan, disebabkan perkara tersebut, pencari kerja semakin lantang dalam memilih pekerjaan bahkan menolak jawatan dengan gaji lebih tinggi yang memerlukan catatan kehadiran harian ke pejabat.
“Trend ini amat kuat dalam kalangan generasi muda, dengan hampir separuh daripada Gen Z (49 peratus) dan Milenium (47 peratus) menentang pengaturan kerja yang tidak fleksibel.
“Dua daripada lima responden berkata mereka melakukan perubahan hidup seperti berpindah atau mempunyai haiwan peliharaan dan menjangkakan kerja fleksibel diteruskan selepas pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, fleksibiliti perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk aturan kerja yang menggalakkan ekuiti meskipun majikan menetapkan peraturan ketat untuk hadir ke pejabat dan pengiktirafan pengalaman pekerja.
Katanya, kaji selidik tersebut juga mendedahkan, satu dalam dua responden berkata, pihak majikan telah memperkenalkan polisi wajib bekerja lima hari di pejabat.
“Malah, satu dalam 10 responden berkata, majikan mereka tidak mempunyai polisi bekerja secara fleksible,” katanya.
Sementara itu, tinjauan berkenaan turut mendapati 52 peratus rakyat Malaysia tidak akan menerima pekerjaan sekiranya syarikat tidak proaktif dalam meningkatkan kepelbagaian dan ekuiti. – KOSMO! ONLINE