fbpx

Filipina tidak akan bedil kapal China guna meriam air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar klip video yang disiarkan pada 30 April lalu menunjukkan kapal Pengawal Pantai Filipina (tengah) terkena bedilan meriam air. – AFP 

MANILA – Presiden Ferdinand Marcos Junior berkata bahawa Filipina tidak akan membalas tembakan meriam air China terhadap kapal-kapalnya dan menolak penggunaan peralatan ‘serangan’ ketika Manila berusaha mengekalkan kedaulatan di Laut China Selatan.

China mengerahkan beratus-ratus kapal pengawal pantai dan kapal lain dalam meningkatkan tuntutan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun tribunal antarabangsa menolak hak Beijing berbuat demikian.

Dalam konfrontasi pada 30 April lalu, Filipina menyatakan, kapal Pengawal Pantai China merosakkan sebuah kapal Pengawal Pantai Filipina dan sebuah lagi kapal kerajaan  menggunakan tembakan meriam air bertekanan tinggi.

Kejadian berlaku ketika kapal-kapal berkenaan membawa bahan api, makanan dan air kepada nelayan-nelayan Filipina di Terumbu Scarborough. 

“Kami tidak akan mengikuti jejak Pengawal Pantai China ke arah itu,” kata Marcos Junior hari ini apabila ditanya sama ada Manila akan menggunakan meriam air di atas kapal pengawal pantainya sebagai tindak balas.

“Bukan misi tentera laut dan pengawal pantai kami untuk meningkatkan ketegangan. Kami (Filipina) tiada niat menyerang sesiapa dengan menggunakan meriam air atau peralatan serangan lain,” tambahnya.

Marcos Junior sebaliknya memberitahu bahawa Filipina akan terus bertindak balas ke atas insiden di Laut China Selatan menerusi saluran diplomatik. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI