PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap pemimpin dan ketua jabatan untuk memberikan nama kampung jagaan masing-masing selewat-lewatnya pada minggu depan.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengusulkan cadangan itu sebelum ini untuk memastikan kampung di bawah jagaan pemimpin terlibat dapat dikenal pasti setiap permasalahan agar diselesaikan sebaiknya.
“Setiap ketua pengarah atau ketua jabatan pilih kampung siap-siap, jangan tunggu tiga atau empat bulan, minggu depan boleh bagi nama kampung.
“Saya harap kalau boleh dalam kesibukan kita ini dapat kita kenal pasti kampung.
“Kalau sempat balik dan kalau tak sempat hubungi pun tak apa, kita ambil tahu siap-siap berapa puluh persatuan di situ, buat perjumpaan sama ada kita atau ada seorang pegawai yang boleh selaraskan dengan kita,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE