PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap jabatan untuk mengawal dan mengenal pasti kakitangan bermasalah di jabatan masing-masing yang merosakkan nama baik penjawat awam.
Perdana Menteri berkata, mereka yang bermasalah itu tidak akan diberi layanan sama dalam mendapat ‘habuan’ daripada kerajaan dalam kenaikan gaji yang akan diterima selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diluluskan.
“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tak hadir, begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah, apakah kita harus beri layanan yang sama?
“Saya jawab tidak, kita tak akan beri layanan yang sama, jadi sementara kita berikan satu anjakan radikal daripada segi pengikitrafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri dan jabatan, kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE