fbpx

Al-Sultan Abdullah titah banteras kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah berkenaan melafazkan titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) tidak gusar dan takut dalam membanteras ketirisan hasil negeri.

Baginda turut menitahkan agar unit berkenaan terus proaktif dalam memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan negeri.

“Beta berbangga dengan usaha kerajaan beta yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.

“Beta dimaklumkan pada tahun 2023 sebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta malah terdapat 15 kes telah dibawa ke muka pengadilan.

“Malah beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan beta pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah, syabas dan tahniah atas tindakan yang tegas ini,”katanya ketika berkenaan melafazkan titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah dalam pada itu mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengenepikan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di Raub pada 24 April lalu.

Justeru baginda berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan mengangkat daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan yang berkuatkuasa pada November 2023 dan dimasyhurkan sebagai Lipis Geopark pada 18 Januari lalu.

“Beta berharap menerusi pengiktirafan Lipis Geopark ini, kerajaan beta dapat merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan berharga yang ada di negeri ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI