KUALA SELANGOR – Masalah perumahan 245 keluarga peneroka di lima ladang di sini sejak 26 tahun lalu selesai dengan pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) jenis teres yang dijangka siap pada tahun 2026.
Lima ladang itu adalah Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak yang kesemuanya terletak di Bestari Jaya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM75 juta dengan RM35 juta daripadanya adalah dari kerajaan negeri.
Katanya, Berjaya Corporation telah memberikan komitmen dengan penyediaan tanah seluas 8 hektar di Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya di sini bagi pembangunannya.
“Isu pemilikan rumah itu telah berlarutan sejak 26 tahun lalu sejak 1998, kerajaan bersilih ganti namun masalah tidak selesai yang memberikan kesan kepada 245 pekerja di lima ladang itu.
“Bagi mempercepatkan proses, Perbadanan PR1MA akan dilantik sebagai agensi pelaksanaan namun tertakluk kepada keputusan jemaah menteri. Kita menyiapkannnya sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh kelulusan dengan menjelang 2026 boleh diduduki,” katanya pada sidang akhbar di Ladang Sungai Tinggi, di sini hari ini.
Menurut beliau, PPR itu nanti akan dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani bagi mencerminkan semangat perpaduan antara kaum dan keharmonian sebagai kunci kejayaan negara.
Selain itu, kata Kor Ming, pihaknya akan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai simbolik penyerahan kunci kepada penerimanya apabila siap nanti.
“Rumah itu akan memberikan manfaat kepada 1,250 orang dengan setiap unit PPR rumah teres akan mempunyai keluasan 20 kaki X 60 kaki dan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Reka bentuknya akan mesra dan mampan alam selain terdapat sebuah dewan serbaguna dan tadika bagi keperluan penduduk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kor Ming menjelaskan sebanyak 202 projek PPR melibatkan 115,039 unit rumah telah siap dibina di seluruh negara sejak 1998 hingga Mac lalu.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 19 projek dengan jumlah sebanyak 7,517 unit adalah di peringkat pembinaan dan 19 projek lagi terdiri daripada 6,006 unit dalam peringkat perancangan.
“Nilai keseluruhan komitmen kewangan telah disediakan Kerajaan Persekutuan bagi program ini adalah berjumlah RM12 bilion,” katanya. -KOSMO!ONLINE