fbpx

Restoran Jepun buang nasi lemak: Kalau jadi ke sana, kami ‘call’ – Ejen Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak Malay Asian Cuisine di Shibuya, Tokyo, Jepun terpaksa membuang 25 set menu nasi lemak didakwa ditempah oleh sebuah agensi pelancongan dari Malaysia. - Foto FACEBOOK SOU TANAKA

PETALING JAYA – Agensi pelancongan yang terkait dengan pembatalan tempahan nasi lemak di sebuah restoran di Jepun sehingga menyebabkan pemiliknya terpaksa membuang 25 set menu tersebut, tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian itu.

Penjelasan itu dibuat oleh Kampungstay Holiday Sdn. Bhd. menerusi hantaran komen di Instagram, bagi membalas pertanyaan orang ramai susulan isu tular berkenaan.

“Maaf semua di atas kecelaruan. Kronologi pukul 11 pagi, pihak KH (Kampungstay Holiday) menelefon restoran untuk melakukan ‘survey’ restoran bersesuaian dengan trip yang disertai 90 peratus warga emas maksimum usia 72 tahun.

“KH menelefon tiga restoran berdekatan di bandar Shibuya. Waktu itu kami masih membawa kumpulan berjalan di sekitar Asakusa sehingga jam 1.40 tengah hari. Agak terlewat dari masa makan disebabkan pergerakan warga emas yang agak terhad.

“Berkaitan Malay Asian Cuisine, kami menelefon mereka untuk mendapatkan info sama ada di tempat mereka boleh menampung tempat duduk sebanyak 25 orang atau tidak. Mereka menjawab ‘ya’.

“Pihak kami memaklumkan kepada mereka jika kami jadi untuk ke sana, kami akan telefon dan pihak kami ada meninggalkan nombor telefon kami. Kami memilih untuk makan tengah hari di tengah bandar Shibuya,” katanya.

Kampungstay Holiday Sdn. Bhd. turut memberitahu, mereka mengambil keputusan untuk makan di tempat tidak jauh dari tempat mereka berhenti berikutan ada dalam kalangan peserta tidak mampu berjalan jauh selain menggunakan tongkat.

“Kami membawa kumpulan di tengah bandar Shibuya yang mana terlalu sesak dengan orang ramai. Telefon pada waktu itu tidak dapat dipegang memandangkan kami menjaga pergerakan agar tidak hilang daripada kumpulan. Usia mereka semua sekitar 60-an hingga 70-an,” ujarnya.

Penjelasan oleh Kampungstay Holiday Sdn. Bhd. berkait isu pembatalan 25 set menu nasi lemak di Malay Asian Cuisine di Shibuya, Tokyo, Jepun.

Selain itu, agensi pelancongan itu memaklumkan, kumpulan mereka bergerak ke Lapangan Terbang Haneda untuk pulang ke tanah air pada pukul 7 malam serta mengendalikan urusan daftar masuk dan bagasi semua peserta tersebut.

“Pukul 7 pagi hari ini, saya terus menelefon pihak restoran disebabkan ada kenalan yang menelefon memaklumkan bahawa, syarikat kami telah ditularkan oleh pihak restoran. Inilah serba sedikit kronologinya, terima kasih. Maaf daripada kami sekiranya kesalahan itu daripada pihak kami,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah restoran di Jepun yang menghidangkan makanan tradisi rakyat Malaysia terpaksa membuang 25 set nasi lemak gara-gara seorang ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka.

Kejadian itu dikongsikan oleh pekerja restoran tersebut, Sou Tanaka pada hantaran Facebook di dalam bahasa Jepun, yang kemudiannya dijelaskan oleh Kamal Zharif Kamaludin iaitu rakyat Malaysia yang menetap di Jepun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI