JOHOR BAHRU – Majlis persandingan pasangan pengantin baharu di Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang, di sini terbantut susulan banjir kilat yang melanda hingga menyebabkan air naik setengah meter.
Walaupun keadaan itu mengganggu kelancaran majlis, ia tetap diteruskan dan hadirin yang hadir sanggup meredah banjir untuk menjamu selera di khemah yang disediakan bagi meraikan pasangan pengantin.
Pengerusi Komuniti Perpaduan dan Keselamatan Kampung Plentong Baru, Kamal Hashim berkata, kejadian berlaku selepas hujan lebat hampir dua jam melanda perkampungan berusia kira-kira 50 tahun itu.
“Hampir 10 rumah terjejas dan air dilihat naik sehingga paras lutut. Tapi lepas kira-kira dua jam, air mula surut dan makin ramai tetamu hadir,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Kamal Hashim berkata, diharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi permasalahan tersebut yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE