JITRA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh bahawa beliau seorang yang sangat mudah untuk berbincang dan meluluskan sesuatu projek demi kepentingan rakyat, asalkan didekati dengan cara baik.
“Sebab itu saya kata kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi (Menteri Besar Kedah) bahawa saya ini mudah kalau cakap elok-elok. Ia kerana kerjasama kita untuk bantu selesaikan masalah rakyat.
“Kita ada berbeda pendapat sedikit dalam cara pendekatan tetapi itu tidak jadi masalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri di pekarangan Darulaman Park, di sini hari ini.
Kata beliau, selain usaha membasmi kemiskinan, kerajaan mempunyai banyak projek pembangunan lain di Kedah termasuk yang dibentangkan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Alor Setar, petang tadi.
“Kita ada projek-projek dengan keutamaan diberikan kepada rakyat seperti projek perumahan rakyat (PPR), manakala cadangan kerajaan negeri tentang kampung tersusun untuk orang miskin itu, saya minta selaraskan. Kalau perlu tambahan RM30 atau RM40 juta, saya boleh luluskan demi kepentingan rakyat miskin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE