fbpx

Sanusi mohon maaf keterlanjuran kata sepanjang berkhidmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Darulaman Park, Jitra, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JITRA – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon maaf bagi pihak dirinya serta kerajaan negeri sekiranya pernah membuat ucapan kurang sesuai sepanjang memimpin negeri ini.

Permohonan maaf itu dibuat di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa menteri Kabinet di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Darulaman Park, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan harapan agar pertemuan mereka dalam bulan Syawal dapat membuka lembaran baharu dengan hati bersih, ikhlas dan bertanggungjawab bagi membela nasib rakyat.

“Setinggi-tinggi penghargaan ingin saya rakamkan kepada Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri atas kesudian melapangkan masa ke Kedah dan berkongsi pandangan atas usaha pembangunan yang dirancang di negeri ini.

“Sesungguhnya perhatian dan sokongan seperti ini amat kami dambakan untuk sama-sama melangkah mendepani cabaran ekonomi dan sosial yang semakin getir.

“Di kesempatan ini sebagai manusia biasa yang tidak maksum, saya mohon ampun dan maaf sekiranya selama berkhidmat saya ada melakukan ucapan kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ (hubungan sesama manusia),” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dengan segala yang bersifat politik, sepatutnya hanya berkisar dalam medan itu saja.

“Ini akan memastikan kita sebagai ahli politik yang diangkat menjadi pemimpin, sentiasa berwaspada serta berhati-hati dalam semua situasi termasuk ketika menyuarakan pandangan dan permintaan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

“Justeru kami di pihak pentadbiran negeri sentiasa mengharapkan supaya negeri ini akan sentiasa diberi perhatian dan tidak dipinggirkan,” katanya.

Tambahnya, beliau bukan berniat mahu memberi kuliah politik kerana semua yang hadir pada majlis tersebut dianggap sebagai ‘abang’ yang jauh lebih berpengalaman dalam dunia politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI