PASIR MAS – Tidur nyenyak seorang pemandu lori dikejutkan dengan empat das tembakan dilepaskan oleh individu tidak dikenali yang mengenai sebuah kereta dan trak pikap di depan rumahnya di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an berkata, dia dan keluarganya sedang tidur sebelum terdengar empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira pukul 3.30 pagi.
Menurutnya, menyedari insiden yang menyasarkan rumahnya itu, dia bangun dan menjenguk ke luar rumah sebelum mendapati suspek sudah melarikan diri.
“Saya bergegas keluar dan mendapati cermin belakang dan cermin sisi kereta jenis Perodua Viva telah pecah akibat terkena tembakan itu.
“Selain itu, terdapat juga kesan tembakan pada bahagian belakang trak pikap jenis Mitsubishi Triton,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, dia amat terkejut apabila rumahnya menjadi sasaran untuk suspek melepaskan tembakan.
Tambahnya, bimbang dengan insiden itu, dia terus membuat laporan kejadian tersebut di Balai Polis Meranti, di sini, pagi tadi
Sementara itu, seorang penduduk, yang dikenali sebagai Mat, 50, berkata dia menyedari kejadian tembakan selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk kampung.
Katanya, dia fahamkan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada dendem lama.
“Berdasarkan apa yang saya tahu, mangsa baru seminggu keluar dari hospital selepas dipercayai ditetak sekumpulan lelaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan pihak menerima laporan berkait insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE.