fbpx

Peluang pemain cari momentum terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL (tengah) percaya semua pemain perlu berusaha memulihkan prestasi meskipun sedar tahap pasukan kebangsaan tidak konsisten ketika ini.

TIGA perlawanan pertama kempen Liga Super 2024/2025 menjadi medan buat barisan pemain kebangsaan mendapatkan tahap kecergasan sebelum aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.

Pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim mengakui peluang Harimau Malaya lolos ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026 masih terbuka meskipun laluan berliku.

Kata Faisal, semua pemain perlu mencari momentum sebenar pada aksi liga domestik sekali gus membantu skuad kebangsaan memburu kemenangan pertama di pentas antarabangsa tahun ini.

“Kita akan harungi dua perlawanan terakhir yang penting buat pasukan kebangsaan dan sebelum lapor diri ke skuad kebangsaan, kita ada beberapa perlawanan Liga Super.

“Jadi, saya harap apabila liga sudah bermula, ia sedikit seba­nyak dapat membantu pemain. Saya tak boleh janji bulan dan bintang, tapi kita kena buat yang terbaik dan lebih baik.

“Peluang masih terbuka, cuma jalan itu sukar. Kita yang pilih jalan ini, kita yang cipta peluang ini, jadi kita kena jalan dan buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan serta semua rakyat Malaysia,” katanya.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon akan menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan, 6 Jun depan dan seterusnya me­layan kunjungan Taiwan pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Faisal percaya semua pemain perlu ber­usaha untuk memulihkan prestasi meskipun sedar tahap yang ada pada pasukan negara ketika ini masih tidak konsisten apabila bersaing dengan negara lebih hebat di peringkat antarabangsa.

“Apa yang saya boleh katakan, pemain akan cuba berikan yang terbaik untuk memberi satu penghargaan kepada rakyat Malaysia. Kami tahu tahap kita ­ketika ini sukar.

“Namun, saya percaya dengan kualiti yang kita ada. Kita hanya nak bawa nama Malaysia di pentas Asia untuk menjadi pasukan terbaik di masa akan datang,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI