HULU SELANGOR – Firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity bersedia untuk memulakan pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan 10 tahun lalu bermula November ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, perkara tersebut perlu dibawa ke Kabinet terlebih dahulu untuk diteliti serta mewujudkan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat robotik marin itu.
“Selepas perbincangan, kita putuskan mereka hantar kertas cadangan bersama dengan bukti-bukti ataupun maklumat untuk penelitian bahagian udara dan pihak terlibat di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Selepas itu kita perlu rujuk kepada Kabinet untuk (mewujudkan) satu perjanjian antara kerajaan dengan Ocean Infinity dan kita menjangkakan proses itu akan mengambil masa tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program M.E.S.R.A. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Dewan Dato Abdul Hamid, Batang Kali, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ocean Infinity membentangkan pelan baharu kepada Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan pencarian pesawat yang membawa 280 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Menurut Anthony Loke, misi pencarian itu tidak melibatkan sebarang kos dan kerajaan hanya akan membuat bayaran sekiranya pesawat berkenaan berjaya ditemui.
“Ia tak melibatkan kos baharu, malah sebelum ini pun tak ada kos, ia berdasarkan kepada prinsip kalau tak dapat cari kapal, tak ada bayaran. Mereka mesti dapat cari pesawat tersebut baru bayaran dilunaskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.