BANDAR GAZA – Pembinaan semula kediaman penduduk Palestin di Semenanjung Gaza boleh mengambil masa sehingga abad datang berdasarkan kepada trend perang sebelum ini, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti laporan portal berita Middle East Monitor kelmarin.
Tentera Israel melancarkan serangan darat dan udara di Gaza yang memasuki tempoh hampir tujuh bulan dengan kerosakan dianggarkan bernilai berbilion-bilion dolar.
Dalam serangan itu, banyak bangunan konkrit bertingkat dan tinggi runtuh dengan seorang pegawai PBB merujuk kepada keadaan di wilayah Palestin berkenaan seperti permukaan Bulan.
Data Palestin menunjukkan bahawa sekitar 80,000 rumah telah musnah dalam kempen pengeboman genosid Israel.
Penilaian yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) itu menyatakan, Gaza memerlukan masa kira-kira 80 tahun untuk memulihkan semua unit perumahan yang musnah sepenuhnya.
Bagaimanapun, dalam senario terbaik sekiranya bahan binaan boleh dihantar lima kali ganda lebih ganda pantas berbanding perang terakhir Israel-Hamas pada 2021, pembinaan semula semula boleh disiapkan menjelang 2040, kata laporan tersebut.
UNDP membuat penilaian tentang kesan sosioekonomi perang di Gaza berdasarkan tempoh konflik semasa selain meramalkan dekad penderitaan yang berterusan.
“Tahap kerugian manusia yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kemusnahan modal insan dan peningkatan mendadak kemiskinan dalam tempoh singkat akan mencetuskan krisis pembangunan serius sehingga menjejaskan masa depan generasi akan datang,” kata Pentadbir UNDP, Achim Steiner dalam satu kenyataan.
Dalam senario di mana perang dijangka berlangsung selama sembilan bulan, kemiskinan rakyat Palestin dijangka meningkat daripada 38.8 peratus pada akhir 2023 kepada 60.7 peratus, kata laporan tersebut.
Laporan itu memberi amaran bahawa jumlah penduduk Gaza yang hidup di bawah garis kemiskinan akan meningkat kepada 1.74 juta jika tempoh perang antara tentera Israel dengan Hamas yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, mencecah tujuh bulan.
Ia menyatakan, 1.86 juta penduduk Gaza lagi akan menjadi miskin jika tempoh perang berlanjutan selama sembilan bulan.
Menurut laporan sama, perang mengheret sebahagian besar penduduk kelas pertengahan ke bawah garis kemiskinan.
Laporan itu menampilkan tajuk bermaksud ‘Perang di Gaza: Kesan Sosioekonomi yang Dijangka terhadap Negara Palestin.’
Ia mendedahkan kerosakan meluas yang disebabkan oleh konflik termasuk kemusnahan kira-kira 80,000 buah rumah, perpindahan paksa dan kehilangan tempat tinggal dalam kalangan penduduk.
Laporan itu turut menyentuh pencemaran sumber asli, kemusnahan infrastruktur seperti sistem air dan sanitasi, institusi pendidikan serta kemudahan penjagaan kesihatan.
“Tiada konflik bersenjata lain dalam abad ke-21 yang menyebabkan kesan begitu dahsyat ke atas penduduk dalam tempoh begitu singkat,” kata laporan itu.
Berdasarkan anggaran, ekonomi Palestin kehilangan 8.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya(KDNK) pada 2023.
Gaza juga dianggarkan akan kehilangan 25.8 peratus KDNK pada tahun ini.
Jika konflik berterusan selama tiga bulan lagi, kerugian tahun ini boleh meningkat kepada 29 peratus KDNK bersamaan dengan kira-kira AS$7.6 bilion (RM36.04 bilion).
Semua sektor ekonomi di Gaza terjejas teruk akibat perang, kata laporan sama dengan sektor pembinaan mengalami kemerosotan paling ketara iaitu sebanyak 75.2 peratus.
“Perang Gaza yang dahsyat akan meninggalkan generasi akan datang dengan kos ekonomi dan sosial yang lebih teruk,” kata laporan tersebut. – AGENSI