fbpx

Kenaikan gaji penjawat awam sebagai penghargaan berkorban demi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tiga dari kiri) memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat di majlis SHAB 2024 di Sunway City, Ipoh hari ini.

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat yang mempertikai keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam bahawa keamanan serta kestabilan dinikmati negara ketika ini disumbangkan oleh jasa pelbagai pihak seperti polis, tentera dan bomba.

Beliau berkata, kesemua pihak tersebut telah berkorban demi memastikan keamanan serta kestabilan negara itu dapat dikekalkan, seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memainkan peranannya dalam pelbagai situasi.

Katanya, ia termasuklah menyelamatkan orang hanyut, cedera parah serta berhadapan dengan bencana alam seperti tanah runtuh.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak tidak memahami hakikat tersebut kerana beranggapan ia merupakan suatu khidmat yang harus ada, namun tidak mengambil kira mereka yang memikul tanggungjawab berkenaan.

“Tetapi siapa yang berkhidmat? Anak-anak kita? Keluarga kita? Mereka menjalani suatu latihan dan latihan itu bukan perkara biasa, ia memerlukan pengorbanan.

“Ada yang terkorban nyawa, ada yang cedera parah tetapi ia menjamin keadaan yang selesa bagi negara. Sebab itu bagi pihak kerajaan dan Malaysia seluruhnya, saya hadir untuk menyatakan penghargaan terima kasih atas jasa dan khidmat saudara saudari yang dimuliakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) di Jalan Tambun, Sunway City di sini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri menerima Hormat Perdana dan diberi penghormatan untuk memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat.

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun merupakan satu acara penuh simbolik yang ditujukan khas bagi memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti yang telah diberikan oleh anggota bomba di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI