PETALING JAYA – Menyedari kewangan dan konflik rumah tangga menjadi antara punca tekanan hidup golongan wanita, pelakon Sharifah Sakinah menasihatkan kaum Hawa agar tidak perlu bergantung kepada orang lain dalam mencari kebahagiaan hidup.
Katanya, wanita juga harus belajar menjaga emosi dan mengawal diri sendiri untuk menentukan jalan kehidupan masing-masing.
Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 34, berkata, atas sebab itulah kesihatan mental harus diutamakan bagi mengelakkan diri daripada hilang arah apabila kebergantungan terhadap individu lain tidak menjadi.
“Perempuan selalunya terlalu fikir mengenai kewangan tapi emosi sebenarnya lagi penting. Bila emosi kita stabil, kita sudah tak peduli perkara lain.
“Sebab itu saya pantau emosi saya. Saya memang pantau apa perasaan saya dan apa yang saya rasa sekarang. Kalau saya sedih, cepat cuci. Cuci tu maknanya ‘kenapa sedih ni?’ saya buang cepat-cepat rasa itu.
“Emosi ada kaitan dengan kesihatan, pemakanan, apa yang kalian tengok dan fikir. Sebab itu saya kurangkan penggunaan telefon dan tak tengok drama yang sondol menyondol ni,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Kata pelakon Jemputan Ke Neraka itu, benar tanpa lelaki ada wanita berdepan rasa sunyi biarpun sudah mempunyai kebebasan kewangan. Ada sokongan keluarga dan rakan-rakan juga bagus tetapi tidak perlu terlalu berharap.
“Selalunya kalau kita tengok perempuan mesti kena ada duit sendiri, lepas itu bila tak ada jantan, kalian sunyi.
“Sebab itu kebanyakkan perempuan yang ada kerjaya, kadang-kadang mereka punya kepala otak beremosi dan asyik marah pekerja.
“Jadi, jangan sesekali bergantung harap pada orang lain. Semua benda kena bergantung dengan diri sendiri. Bagus ada sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan tapi jangan terlalu berharap,” titipnya.
Pendapatnya itu dipersetujui netizen yang rata-rata berharap wanita terus kuat dalam menentukan hala tuju kehidupan serta tidak mudah ‘rapuh’.
Selain berkongsi aktiviti harian, laman sosial Sakinah kerap menjadi perhatian kerana turut dijadikan gelanggang untuk menitipkan pelbagai pesanan kepada pengikut. – KOSMO! ONLINE