PETALING JAYA – “Baru umur 23 tahun, perangai sudah macam sampah!”
Itu yang diluahkan isteri penyanyi dan aktivis Caprice iaitu Fara Inalis atau Elis kepada lelaki dikenali sebagai Irfan yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menyamakan wajah anaknya, Airiel Qashaf seperti binatang baru-baru ini.
Bukan sahaja berang, lelaki tersebut yang dibawa sendiri oleh Caprice ke rumahnya turut melutut meminta maaf di hadapan Elis atas ketelanjuran kata-katanya tempoh hari.
“Kau umur berapa sekarang? Baru 23 nak buat perangai macam sampah dekat luar.
“Kau patut bersyukur kau jumpa dengan Caprice. Kau patut bersyukur sebab dia boleh tenangkan aku sekarang ini.
“Kau nak minta maaf, kau ikut cara aku. Aku nak kau melutut kau mintak maaf dengan aku dan anak aku,” katanya berang.
Dalam perkongsian tersebut, Caprice dilihat lebih tenang mengendalikan situasi turut memberi dua pilihan kepada Irfan sama ada mahu menyelesaikan perkara ini di balai polis atau di masjid.
Tidak berfikir panjang, Irfan memilih untuk pke masjid sebelum menunaikan solat bersama.
“Kita ada dua pilihan untuk selesaikan masalah ini.
“Sama ada kita pergi balai polis atau kita pergi masjid. Mana satu pilihan awak?” ujarnya.
Caprice turut menghulurkan sejumlah wang kepada Irfan untuk diberikan kepada ibunya sebagai duit raya.
Sebelum ini, Caprice atau Ariz Ramli, 36, mendedahkan beberapa tangkap layar kiriman mesej (DM) yang diterima daripada seorang remaja yang menghina anak lelakinya.
Berang dengan perkara tersebut, isterinya turut meminta orang ramai mencari lelaki tersebut untuk menuntut kemaafan kerana menghina anaknya. – KOSMO! ONLINE