LIPIS – Pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Jelai dan Sungai Lipis di sini terpaksa menanggung kerugian akibat hidupan yang mereka usahakan mati ekoran air sungai bertukar menjadi warna oren dan keruh.
Hairol Anuar Ahmad Maher, 38, berkata, fenomena itu berlaku hampir setiap tahun di Kampung Ganding, Mukim Cheka Satu.
“Tahun ini sudah lebih 10 kali air tercemar. Terbaharu berlaku kelmarin (Rabu) dan hingga hari ini (semalam) air masih oren.
“Ratusan ikan patin dan tilapia mati. Saya rugi besar kerana ikan-ikan itu sudah boleh dipasarkan pada bila-bila masa,” katanya.
Pengusaha dari Kampung Mela, Johari Abu Bakar berkata, dia terus lihat ikan ternakan sebaik dimaklumkan air bertukar oren.
“Sungai tidak boleh digunakan lagi dan banyak ikan mati kerana habitatnya sudah tercemar,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Safri Salleh, 43, mendakwa, kejadian itu mungkin disebabkan aktiviti melombong di kawasan ulu sungai.
“Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan bagi mengelakkan kami terus rugi,” katanya.