PETALING JAYA – Nama artis sensasi, Aliff Aziz kekal sohor di laman X selama hampir dua bulan selepas terpalit dengan isu tangkap khalwat bersama rakan pelakon, Ruhainies di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada Mac lalu.
Semakan Kosmo! di laman web trends.google.com mendapati, sebanyak 90 peratus pengguna media sosial membuat carian bagi nama Aliff Aziz.
Berdasarkan data tersebut, lima negeri tertinggi yang membuat carian tersebut adalah Kuala Lumpur, Sabah, Selangor, Terengganu dan Sarawak.
Kemelut rumah tangga dan kontroversi kecurangan Aliff semakin panas apabila muncul wanita yang didakwa memegang karakter ‘kekasih gelap’ bernama Sarah Yasmine yang secara tiba-tiba membuat pengakuan menjalin hubungan cinta dengan suami pelakon Bella Astilahh itu.
Mereka didakwa bercinta sejak awal Januari tahun ini.
Sarah yang merupakan warga Singapura terus ‘memanaskan’ suhu industri dunia seni tanah air apabila mengaitkan nama beberapa pelakon dan individu lain yang didakwa turut terlibat dalam kes kecurangan Aliff.
Baru-baru ini, Aliff secara terbuka membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan kontroversi yang diakui berpunca daripada kesilapannya sendiri menerusi satu siaran podcast. – KOSMO! ONLINE.