fbpx

4 selebriti Singapura ‘beraja’ di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON Aziz, Adi Putera, Hannah Delisha dan Atikah Suhaime ,enjadi artis asal Singapura yang meraih banyak pengaruh di Malaysia.

KEGILAAN kontroversi curang Aliff Aziz yang mengheret beberapa nama artis lain mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna media sosial.

Bukan sahaja memburukkan reputasi Aliff sebagai anak kelahiran Singapura yang mencari makan di Malaysia tetapi turut mengundang tanggapan negatif terhadap selebriti senegaranya di sini.

Jika dilihat semula, ramai artis asal Singapura berjaya memahat nama di Malaysia sehingga ada dianugerahkan gelaran datuk.

Ada yang berpendapat, jangan disebabkan Aliff, habis rosak semua nama artis Singapura yang mencari rezeki di Malaysia sejak sekian lama.

Minggu ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti kelahiran Singapura yang bersinar di Malaysia dalam pelbagai cabang seni.

 

Hannah Delisha

Aktres jelita kacukan Inggeris-Melayu ini memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi menerusi kumpulan duo Mia Delisha di Singapura.

Pada 2017, Hannah Delisha mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia sebelum melakukan debut dengan membintangi drama Mencintaimu Mr. Photographer bersama Syafiq Kyle.

Sejak itu, dia mula dihujani tawaran dan diberi kepercayaan menerajui drama sentuhan pengarah tanah air.

Kemudian, pada 2021 aktres ini mengejutkan ramai apabila mendirikan rumah tangga dengan pelakon senegaranya, Imam Shah.

Namun, pelbagai kontroversi mula tercetus ketika itu termasuk dakwaan dia bernikah tanpa kerelaan ibunya.

Terbaharu, Hannah baru sahaja mengalami keguguran anak pertamanya bulan lalu.

Datuk Aaron Aziz

Sebelum berhijrah ke Malaysia, aktor kelahiran Tampines, Singapura ini sudah pun mencipta nama sebagai pelakon.

Rezeki sememangnya berpihak kepada Aaron selepas berpindah ke sini apabila diberikan kepercayaan memegang pelbagai watak utama dalam filem dan drama.

Berbekalkan pakej lengkap, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz mula menjadi perhatian dan perbualan warga industri perfileman dan peminat seni hiburan tanah air terutama pada waktu industri ketandusan hero muda.

Kemuncak populariti Aaron Aziz adalah apabila membintangi drama bersiri Adam & Hawa bersama Nadiya Nisa serta filem Ombak Rindu bergandingan dengan Maya Karin.

Aaron boleh dikatakan antara pelakon Singapura yang ‘bersih’ kontroversi.

Paling membanggakan, dia turut dianugerahkan gelaran datuk atas usaha dan impak hasil kerjanya selama ini dalam industri seni tanah air.

Datuk Adi Putra

Seperti Aaron Aziz, Datuk Adi Putra juga terlebih dahulu mencipta nama di negara kelahirannya sebelum digilai peminat wanita di sini.

Sebaik sahaja berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2004, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim lebih banyak mendapat peluang untuk berlakon.

Antara drama lakonannya yang meraih rating tinggi ialah Tentang Dhia, Cinta Si Wedding Planner, Sejadah Untuk Dia dan Akukah Tanggang?

Bukan setakat itu, dia turut menempa nama dalam dunia perfileman. Adi berjaya membuktikan usaha dan hijrahnya ke Malaysia serius selepas ditawarkan berlakon dalam filem 1957: Hati Malaya diikuti naskhah popular lain seperti Anak Halal, KL Gangster, Hanyut, Aku Terima Nikahnya dan karya pecah panggung, Mat Kilau.

Adi juga turut tidak terlepas dihambat kontroversi termasuk kisah rumah tangganya.

Dia pernah mengejutkan ramai dengan bernikah kali kedua sekitar 2016 sebelum menceraikan kedua-dua isterinya.

Dia bagaimanapun memilih untuk rujuk dengan isteri pertamanya beberapa bulan kemudian dan bahagia sehingga ke hari ini.

Atikah Suhaime

Pada awalnya, kemunculan Datin Atikah Suhaime sekitar 2012 kurang dikenali, namun dia tidak pernah berhenti berusaha ketika bernaung di bawah Metrowealth

Dia juga tidak sepi daripada sebarang kontroversi termasuk kisah perancangan perkahwinan dengan penyanyi Awi Rafael dibatal secara tiba-tiba pada Oktober 2019.

Difahamkan, pembatalan majlis tersebut ada kaitan dengan penyebaran foto tidak senonoh dipercayai melibatkan Atikah dengan pelakon lain.

Meskipun hidup dilanda badai, Atikah nekad membersihkan namanya dengan terus menyerlahkan bakat lakonannya di Malaysia selain berjaya memegang watak utama dalam beberapa drama dan filem.

Kini, dia bahagia menikmati kehidupan berumah tangga apabila sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif jenama Zaitun iaitu Datuk Lokman Teh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI