KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disiasat atas dakwaan merasuah pegawai polis gagal mengetepikan perintah pelucuthakan wang RM28,150 kepada kerajaan meskipun pendakwaan tidak dikenakan terhadapnya.
Keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Butterworth selepas menolak rayuan Loh Meng Chin yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan pelucuthakan yang dikemukakan oleh pendakwa raya.
Pesuruhjaya Kehakiman Fathiyah Idris memutuskan demikian selepas berpuas hati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila membenarkan permohonan itu dan tiada sebab mendesak untuk pihaknya campur tangan keputusan tersebut.
“Mahkamah Tinggi memerintahkan harta alih itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 30 April lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini.
Fathiyah berkata, permohonan melucut harta dan keputusan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak tidak bermaksud kesalahan tidak dilakukan, sebaliknya ia tertakluk kepada pertimbangan tertentu selaras undang-undang.
“Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 bukan menentukan siapa yang melakukan kesalahan. Dalam permohonan itu, tidak perlu untuk membuktikan Meng Chin melakukan kesalahan kerana peruntukan terbabit berhubung harta.
“Jika seseorang melakukan kesalahan dan harta mungkin disita daripada individu yang lain iaitu seseorang yang memiliki harta pada masa itu, ia masih boleh dilucut hak.
“Persoalan dan pertimbangan adalah sama ada harta itu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan bukannya jika seseorang melakukan kesalahan,” katanya.
Menurut latar belakang kes, permohonan untuk melucut hak wang itu dibuat pendakwa raya ekoran aduan Deputi Superintendan Mohamad Shahfizan Abd. Rani kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Meng Chin memberi rasuah berkenaan kepadanya.
Meng Chin ditahan SPRM mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 atas kesalahan merasuah Mohamad Shahfizan sebagai balasan untuk melepaskan tiga lelaki.
Lelaki terbabit ditangkap kerana dipercayai terbabit sindiket pengedaran dan penyeludupan rokok serta minuman keras tidak bercukai yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE