fbpx

Sarawak minat anjur Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya semalam.

BIARPUN status penganjuran Sukan SEA 2027 belum diputuskan secara rasmi oleh pihak kerajaan, namun Kerajaan Negeri Sarawak telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi mengadakan temasya itu di luar Kuala Lumpur.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menegaskan pihaknya akan melaksanakan kajian impak secara menyeluruh sebelum membuat keputusan berhubung penganjuran Sukan SEA 2027

Dua tahun lalu, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-34 Sukan SEA 2027 berikutan penarikan diri Brunei untuk menganjurkan temasya dua tahun sekali itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Sarawak berhubung perkara itu bagi melihat peluang negeri berkenaan menjadi penganjur bersama temasya berkenaan.

“Saya telah adakan perbincangan dengan Sarawak untuk melihat sama ada mereka mempunyai peluang atau tidak untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA.

“Tetapi, perkara itu masih dalam pertimbangan dan kajian kerana ada banyak faktor yang perlu diambil kira, bukan sahaja dari segi bajet negeri dan persekutuan sahaja tetapi ia perlu dilihat secara menyeluruh terutama persediaan fasiliti sukan, penaja dan sebagainya. Jadi, ia sedang diperhalusi,” katanya selepas melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya semalam.

Ketika ditanya mengenai tawaran negeri lain untuk menjadi penganjur bersama, Hannah mengakui setakat ini hanya Sarawak yang menyuarakan minat bagi menjadi penganjur bersama temasya itu pada 2027 nanti.

“Saya fikir sebab utama Sarawak berminat adalah kerana mereka sudah melabur untuk menaik taraf fasiliti sukan di negeri itu terutama bagi penganjuran Sukma (Sukan Malaysia 2024).

“Namun, untuk Sukma dan Sukan SEA, penyertaannya adalah berbeza, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh, sama ada hotel mencukupi atau sebaliknya. Jadi, kita sedang kaji semua faktor ini,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI