HULU SELANGOR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digesa menyatakan pendirian sama ada menyokong atau menolak kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wan Ahmad Fayhsal serta Ahli Parlimen pembangkang boleh berbuat demikian dan melihat sekiranya ia diluluskan di Parlimen atau tidak.
“Kata Wan Ahmad Fayhsal, (kenaikan gaji) hanya boleh dilaksanakan jika bajet diluluskan di Parlimen.
“Saya hendak tanya kepada beliau dan rakan-rakannya, sila nyatakan tak setuju dan akan tolak bajet yang memasukkan nanti intipati tentang perkara kenaikan gaji kakitangan awam.
“Kita nak tengok ia boleh dilaksanakan atau tidak sekiranya mengikut Wan Fayhsal,” katanya pada sidang akhbar Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Dalam Negeri di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kenaikan gaji perkhidmatan awam tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen tidak diluluskan.
Selain itu, Ketua Pemuda PN itu turut menyifatkan pengumuman tersebut sebagai gula-gula PRK untuk mempengaruhi pengundi Kuala Kubu Baharu.
Bagaimanapun, Saifuddin menafikan perkara terbabit dan menegaskan semakan gaji kakitangan awam kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah pun dibuat lebih awal.
“Pilihan raya berlaku sekarang, pengumuman semakan gaji penjawat awam dibuat sejak dahulu lagi, semasa setahun dahulu, kita tak ada kekosongan (kerusi) di sini (Kuala Kubu Bharu) pun.
“Nyatakan sekarang bahawa dia adalah orang yang tak akan menyokong. Jadi, senang orang Kuala Kubu Bharu membuat keputusan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE