PETALING JAYA – Masa hadapan belia komuniti India terus terbela menerusi pelaksanaan program peningkatan kemahiran bagi kumpulan itu melibatkan dana berjumlah RM30 juta.
Ia merupakan Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk menyediakan geran latihan bagi perlaksanaan Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) KESUMA-MITRA di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
“Dana tersebut akan disalurkan bagi program peningkatan kemahiran untuk belia komuniti India yang akan diterajui oleh KESUMA menerusi HRD Corp dengan kerjasama MITRA.
“Inisiatif ini akan menekankan latihan di bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara.
“Ini selaras dengan aspirasi 3K KESUMA yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran, keberhasilan dan kebajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maklumat lanjut mengenai program latihan di bawah MISI KESUMA-MITRA akan diumumkan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE