fbpx

Remaja enggan ke kelas mengaji reka cerita jadi mangsa culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular di media sosial Facebook remaja perempuan didakwa diculik, sebaliknya ia cerita rekaan.

KOTA KINABALU – Dakwaan seorang remaja perempuan yang dikatakan menjadi mangsa culik sebelum berjaya menyelamatkan diri semalam didapati hanyalah cerita rekaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan polis mendapati remaja berusia 13 tahun itu sengaja mereka-reka cerita kononnya ‘diculik’ kerana enggan pergi mengaji.

“Hasil soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan tempat kejadian yang dinyatakan oleh mangsa terdapat keraguan terhadap keterangan yang diberikan sehingga mangsa membuat cerita kononnya diculik kerana tidak mahu menghadiri kelas mengaji.

“Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir mengaji,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Kasim menyatakan siasatan mendapati mangsa berjalan-jalan ke Wawasan Plaza sehingga didapati oleh pengawal keselamatan berada di kawasan bangunan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, beliau menasihatkan golongan remaja agar tidak mereka-reka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan kegusaran.

Menurutnya, tindakan seumpama itu juga adalah satu kesalahan membuat laporan palsu.

“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook dan berdasarkan apa yang tersebar, mangsa dikatakan diculik dan dibawa lari menggunakan van putih di Kampung Tanjung Aru Baru semalam.

Mangsa turut mendakwa mulutnya ditutup bagaimanapun kanak-kanak terbabit sempat melarikan selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan dekat Sutera Harbour, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI