HULU SELANGOR – Punca kuasa Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) adalah di bawah keputusan Kabinet.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, agensi itu akan melaksanakan tugas menerusi kertas Jemaah Menteri yang dibentangkan ke Kabinet, April lalu.
“Menyusul mestilah saya bentangkan undang undang tubuh sebab ia akan menjadi satu agensi baru.
“Kalau semua proses pembikinan RUU itu selesai termasuk disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), maka saya bercadang untuk membentangkannya pada sesi Julai akan datang. Jadi, punca kuasa adalah keputusan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Dalam Negeri di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya MCBA melaksanakan tugas di sempadan utama negara, berkuat kuasa serta-merta.
Anwar berkata, semua jabatan dan kementerian berkaitan perlu meletakkan pegawai masing-masing walaupun rang undang-undang (RUU) berkaitan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai depan.
Mengulas lanjut, kata Saifuddin, penubuhan MCBA merangkumi kawalan sempadan untuk memudahkan pergerakan penduduk dan pelancong asing serta menghapuskan pertindihan agensi.
“Jadi MCBA ini akan jadi agensi baharu yang besar dan penting peranannya.
“Tapi bila kita menguruskan sempadan kita berurusan dengan satu, tapi sekarang kita berurusan dengan 20 atau 25 (agensi) jadi dari sudut ‘governance’ (pentadbiran) ia akan menjadi lebih mudah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE