HULU SELANGOR – Keselamatan rakyat sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu adalah terjamin dengan persiapan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jaminan itu diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mana persiapan telah dilakukan seawal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi DUN tersebut.
“Pasukan polis dari segi keselamatan perjalanan sesebuah pilihan raya, ada garis panduan standard dan sudah pun diaktifkan seawal keputusan rasmi kekosongan dibuat.
“Jadi, sehingga sekarang, menerusi taklimat dari semasa ke semasa, jaminan pasukan polis bahawa keselamatan orang ramai termasuk di Kuala Kubu Bharu adalah terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Dalam Negeri bersama Institusi di Maktab PDRM, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi yang akan berlangsung pada 11 Mei nanti.
“Orang ramai atau pengundi tidak perlu gundah gulana atau bimbang, pasukan polis sudah menjalankan tugas dan melakukan persiapan dalam aspek terhadap keamanan dan ketenteraman awam.
“Kita mahu pengundi bebas tanpa sebarang urusan ugutan atau bimbangkan tentang keselamatan diri. Kita juga mengingatkan semua pihak terlibat agar mematuhi aspek perundangan dan kita harap, semua akan selesai dengan baik pada tarikh yang (ditetapkan),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE